Seringkali kita dimomokkan dgn gambar kononnya Dome of the Rock (Kubah kuning) bukan masjid AQSA yg sebenanya. Mari kita baca penerangan berikut yg sy copy paste dari blog Dr Irfan IluvIslam.com.
Moga bermanfaat.
Bangunan al-Masjid al-Aqsa Yang Sebenarnya
November 1, 2009 by abidfana
Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:
وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي متفق عليه، واللفظ للبخاري
Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) - Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.
Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist, menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.
Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa. Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.
PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA
Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن
يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟
قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟
قال: أربعون سنة
Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash,
daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau
berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang
manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab,
“al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi,
“al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara
keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….
Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana
jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah
dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang
amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid
ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah
pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina
al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina
al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat
al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ
Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).
Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan
yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina
kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya.
Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina
al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram,
maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam
al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid
al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh
Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina
Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam
diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di
muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah
tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah
merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu
Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun
nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut
yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.
KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM
Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga
perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara
ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
1. Lokasi.
2. Sempadan.
3. Qiblah.
4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan lokasi dan sempadan, menurut
ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu
bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan.
Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan
lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita
memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.
LOKASI AL-AQSA
Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak
di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of
Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah
yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard
al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem
dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama.
Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi
selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan
petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar
Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama
Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.
PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM
Selain itu, kita juga perlu mengetahui
bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini
adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua bangunan ini
kemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar
tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan berbentuk kiub yang
dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang tepat, kerana
sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian Ka’bah berdasar
pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada al-Azraqi
(meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti yang
telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:
BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut.
Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang
sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di
sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:
1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa.
Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi
dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang
letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah
tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
2. Masjid tidak semestinya berada di dalam
satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam
bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana
ditentukan lokasi dan sempadannya.
3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan
dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama.
Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya
adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut
bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh
diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD
beliau.
4.
Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan
cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan
masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock
sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling
suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan
Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan
qiblat/Ka’bah. Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan
pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah
Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk
tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya
menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada
di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid
Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan,
pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome
of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.
KESIMPULAN
1. Al-Aqsa ialah kawasan yang meliputi
semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti
gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan
sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.
2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran
maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada
al-Aqsa. Sasaran Zionist sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas
tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh
orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada
mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas
al-Aqsa.
3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem,
serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’
Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang
menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.a
No comments:
Post a Comment